Foto : Azmah Haji Ahad, Arifah Mohammad Aliwaridi
ANGGEREK DESA, Isnin, 26 Januari. - WorldSkills Brunei National Competition 2026 (WSBNC2026) berperanan untuk mengenal pasti bakat muda berpotensi tinggi; meningkatkan piawaian latihan teknikal dan vokasional.
Di samping memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, agar latihan yang diberikan kekal relevan dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Perkara demikian dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad semasa merasmikan WSBNC2026 berlangsung di Dewan Grand Cesar, Mulia Hotel, hari ini.
Menurutnya, penglibatan institusi pendidikan dan rakan industri dalam pertandingan ini jelas mencerminkan pendekatan Whole of Nation dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan dan mampan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Dalam konteks pembangunan modal insan negara, Kementerian Pendidikan melihat pendidikan tinggi dan TVET sebagai laluan pembelajaran yang saling melengkapi, bagi membentuk ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif dan relevan dengan keperluan masa hadapan," ujarnya.
Terdahulu, beliau menjelaskan, WorldSkills bukan sekadar sebuah pertandingan, ia adalah satu gerakan global yang mengangkat kemahiran sebagai simbol kecemerlangan, profesionalisme dan daya saing.
Di peringkat antarabangsa, tambahnya, WorldSkills melibatkan 90 buah negara dan ekonomi, dengan komitmen bersama untuk memberi inspirasi dan memperkasa 100 juta belia menjelang tahun 2030.
“Kehadiran awda di sini bukan sekadar untuk merebut pingat emas, perak atau gangsa. Lebih daripada itu, ia adalah satu pengiktirafan terhadap keberanian, ketekunan dan komitmen awda untuk mencabar diri pada tahap tertinggi," katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan agar menggunakan pengalaman ini sebagai medan pembelajaran untuk mengasah kemahiran; membina keyakinan diri; dan membentuk sikap profesional yang akan membawa peserta lebih jauh, sama ada dalam dunia pekerjaan, keusahawanan atau pendidikan lanjutan.